Monday, May 21, 2007

.::Ikannya Dirampas::.


“Ya Allah! Engkau menciptakan dirinya dengan serba kekuatan sehingga dia menganiayaiku dan engkau menciptakan aku dengan serba lemah sehingga aku dianiaya. Berilah pengajaran kepadanya.”


ALHAMDULILLAH, saya mendapat ikan besar hari ini,” kata Abu Jaafar Mansur dengan tersenyum lebar sambil mengikat perahunya ke tiang titi.Dia berjalan pulang sambil menjinjing ikan tangkapannya. “Saya tidak mahu menjual tangkapan hari ini. Lebih baik saya bawa pulang tangkapan hari ini ke rumah sahaja.”Di tengah perjalanan pulang, Abu Jaafar bertembung dengan seorang pegawai kerajaan. Melihatkan ikan besar yang dijinjing oleh Abu Jaafar, pegawai kerajaan itu berkata, “Berikan ikan besar itu kepada saya.”Belum sempat Abu Jaafar membuka mulutnya, ikan besar itu sudah berada di tangan pegawai itu. Abu Jaafar terlopong kerana tidak menyangka pegawai kerajaan itu tergamak merampas hasil tangkapannya.Abu Jaafar terduduk di tepi jalan. Perlahan-lahan dia menadahkan tangannya ke langit, “Ya Allah! Engkau menciptakan dirinya dengan serba kekuatan sehingga dia menganiayaiku dan engkau menciptakan aku dengan serba lemah sehingga aku dianiaya. Berilah pengajaran kepadanya.”Abu Jaafar melangkah pulang dengan tangan kosong. Hari itu mereka tidak berlauk. Abu Jaafar sungguh hiba melihat keluarganya hanya makan nasi semata-mata. Manakala pegawai kerajaan tersenyum lebar melihatkan hidangan di atas meja makannya. Seekor ikan besar.“Aduh!” jerit pegawai kerajaan itu dengan kuat.Jarinya tertusuk duri ikan besar itu sehingga berdarah. Ikan besar itu tidak sempat dimakan lalu disimpannya ke dalam almari. Dia sibuk mengubati jarinya yang mengalirkan darah tanpa henti.“Mengapa jari saya semakin sakit dan berdenyut- denyut?”Pegawai kerajaan itu tidak dapat berehat dan berbaring. Tusukan ikan semasa makan tengah hari tadi cukup mengganggunya. Dia membuka balutan bagi melihat perkembangan lukanya.“Mengapakah terjadi begini?”Dia terkejut melihat jarinya bertambah bengkak dan bernanah pula. Semalaman dia tidak dapat tidur. Paginya, sekali lagi dia terperanjat apabila mendapati bengkak di jarinya merebak hingga ke tangan. Nanahnya pecah dan keluar ulat daripada pecahan bengkak yang bernanah itu. Pegawai itu menjerit-jerit kerana terkejut dan kesakitan dan bergegas menemui doktor.“Maafkan saya, tangan tuan terpaksa dipotong.”“Apa? Tidak ada pilihan selain dipotong?”“Ia perlu segera dipotong sebelum merebak hingga ke seluruh tangan tuan.”Akhirnya, tangan kanan pegawai kerajaan itu terpaksa dipotong. Dia pulang ke rumah dengan wajah suram. Walaupun sudah dipotong, sakitnya masih terasa dan bengkak bahagian yang dipotong itu pula menanah dan berulat. Semalaman dia menangis dan meratapi nasibnya sehingga tertidur.Dalam tidurnya, dia bermimpi. Seorang lelaki tua ber-kata, “Kembalikan hak itu kepada pemiliknya. Mudah-mudahan kamu terselamat daripada kesakitan.”Pegawai kerajaan terduduk di katilnya. Dia menangis teresak-esak lalu ke dapur. Ikan besar yang dirampas masih tersimpan elok di dalam almari. Tanpa berlengah, dia membungkus ikan besar itu lalu pergi ke rumah Abu Jaafar, nelayan yang dianiaya.Abu Jaafar melihat keadaan pegawai kerajaan yang kini bertangan sebelah sahaja. “Apakah yang terjadi kepada tangan kanan tuan?”“Saya menerima balasan ini kerana merampas tangkapan tuan tempoh hari. Maafkan saya,” jawab pegawai itu sambil menangis. “Terimalah kembali ikan yang saya rampas kelmarin dan terimalah duit ini sebagai membayar ganti rugi saudara. Maafkan saya.”“Saya halalkan dan maafkan segala perbuatan tuan terhadap saya.”Serentak kata-kata kemaafan yang diucapkan oleh Abu Jaafar terhadap pegawai kerajaan itu, berguguranlah ulat-ulat daripada bahagian tangan yang dipotong. Bengkak dan nanahnya mula mengering. Akhirnya, Allah mengembalikan semula tangan kanannya.

No comments: